Sunday, April 3, 2011

Penulisan ilmiah ciri-ciri dan keperluan kanak-kanak pintar cerdas

CIRI-CIRI DAN KEPERLUAN KANAK-KANAK PINTAR CERDAS ( CHARACTERISTICS AND NEEDS OF GIFTED CHILDREN)

1.0  Takrifan Pintar Cerdas

Kanak-kanak yang pintar cerdas kebanyakannya mempunyai potensi yang tinggi dalam perkembangan dan pertumbuhan jika dibandingkan dengan seseorang yang normal. Pintar cerdas seringkali dikaitkan dengan seseorang yang mempunyai Intellectual Quotient (IQ) yang tinggi iaitu berada pada tahap IQ 130 dan ke atas.
Pintar cerdas menurut Susan K. Golant (1991) di dalam bukunya The Joys and Cahallenges of Rising a Gifted Childs, kanak-kanak pintar cerdas menunjukkan minat yang tinggi untuk belajar, sangat curiga dan mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi terhadap persikataran serta berupaya menggabungkan beberapa maklumat untuk mengahsilkan sesuatu idea.
Kamus Dewan Edisi  Keempat pula mengistilahkan pintar sebagai cekap dan pandai. Cerdas pula didefinisikan sebagai sempurna akal. Disamping itu sekumpulan ahli biologi juga telah mendefinisikan pintar cerdas sebagai kebolehan luar biasa yang dimiliki oelh seseorang individu untuk melakukan daptasi dan manipulasi terhadap keadaan dan perubahan di persekitaran.
Pakar-pakar psikologi termasuk Francis Galton pula berpegang kepada konsep bahawa individu terutamanya kanak-kanak pintar cerdas, berupaya melakukan taakulan iaitu mempunyai kebolehan berfikir dengan logik dan mempunyai fungsi kognitif yang hebat. Kanak-kanak pintar seperti ini juga berkebolehan mencari dan mengaitkan sebab-musabab terhadap sesuatu fenomena yang abstrak.
Sternberg dan Kaufman mendifinisikan pintar cerdas sebagai satu kepintaran yang lebih berfokus kepada kebolehan mengadaptasi, membentuk dan memilih keadaan yang menjurus kepada sesuatu maklumat. Individu yang pintar cerdas boleh mengenalpasti kelemahan dan kelebihan mereka sendiri malah mereka menentukan cara yang sesuai menggunakan kelebihan mereka serta meminimumkan kelemahan mereka.
Menurut Moira Thomson (2006) pula, di New Zealand mendefinisikan pintar cerdas dalam terma bersifat pembelajaran yang menunjukan kebolehan yang luar biasa dalam mencapai prestasi yang menyerlah. Tiada definisi yang spesifik dan khusus yang dapat dinyatakan terhadap kecerdasan tetapi banyak buku panduan telah diterbitkan, dan kebanyakan sekolah membina definisi mereka sendiri berdasarkan kepada prinsip yang dinyatakan di kebanyakan buku yang diterbitkan. Kebanyakan guru juga bersetuju bahawa kanak-kanak yang pintar cerdas adalah individu yang memerlukan perancangan aktiviti yang
memerlukan tahap penguasaan pembelajaran yang tinggi dan diberi peluang yang luas dalam kokurikulum bagi mengembangkan lagi kebolehan mereka.
Howard Gardner pula mendifinisikan kecerdasan sebagai satu cara memproses maklumat dan juga cara berfikir. Beliau juga berpendapat bahawa kecerdasan merupakan hasil atau produk daripada interaksi antara genetik dan persekitaran yang perlu berada bersama bagi memberi hasil sebenar kepada kecerdasan. Beliau menakrif seseorang itu sebagai seorang yang pintar cerdas apabila mematuhi lapan kriteria khusus berikut.
1. Potensi pengasingan oleh kerosakan otak
2. Kewujudan golongan individu luar biasa
3. Operasi teras yang boleh dikenalpasti
4. Sejarah perkembangan yang khusus bersama dengan prestasi yang menggalakan
5. Sejarah evolusi dan evolusi yang boleh diterima akal
6. Disokong dari kajian psikologi
7. Disokong oleh penemuan psikometrik
8. Kerentanan untuk mengekod sistem symbol
Beliau turut berpendapat bahawa kecerdasan seseorang itu tidak sama seperti cara berfikir yang cenderung untuk kekal konsisten dan tidak berkaitan dengan jenis maklumat yang akan diproses ( Sousa D.A. , 2003).
Umum juga mentakrifkan pintar cerdas sebagai satu kepandaian luar biasa yang dimiliki oleh seseorang. Individu yang dikatakan pintar cerdas mempunyaikebolehan yang luar biasa untuk memahami dan mengadaptasi segala cabaran persekitaran terhadap hidup dan mindanya. Walau apa pun  takrifannya, kanak-kanak pingtar cerdas sememangnya mempunyai beberapa kebolehan yang tidak sepadan dengan peringkat perkembangannya terutama jika ditinjau dari sudut peringkat usianya. Potensi yang hebat sedemikian menyebabkan individu yang pintar cerdas menjadi superior di kalangan rakan-rakan yang seusia dengannya. Kebolehan ini agak ketara jika dilihat pada kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak perempuan yang pintar cerdas kelihatan lebih matang dan lebih mampu berdikari. Semasa kecil, kanak-kanak pintar cerdas dalam banyak hal biasanya lebih mendahului (advanced) dalam beberapa pencapaian jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang lain.





2.0  Ciri-Ciri Kanak-Kanak Pintar Cerdas

Walaupun seorang kanak-kanak itu dikenali sebagai pintar cerdas, kreatif dan berbakat, tetapi mereka tidaklah sentiasa berjaya dalam segala yang mereka lakukan. Kecerdasan serta bakat yang mereka miliki adalah terhad kepada beberapa bidang yang khusus sahaja. Kanak-kanak yang dilabelkan sebagai seoarang yang pintar cerdas, kreatif dan berbakat mempunyai ciri-ciri tertentu. Ciri-ciri mereka sebagai golongan pintar cerdas jelas dapat dilihat dari aspek kognitif,  akademik, fizikal,tingkah laku dan gaya pembelajaran.
Ciri yang pertama yang akan dibincangkan ialah ciri-ciri kognitif. Istilah kognitif merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental seperti berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Mampu memahami konsep yang canggih, abstrak dan kompleks. Ahli falsafah, contohnya adalah golongan yang tinggi kecerdasan. Kecerdasan berkait rapat dengan pemahaman abstrak. Pengetahuan atau skemata yang luas. Memahami banyak konsep yang tidak difahami kanak-kanak yang sebaya. Meminati permainan yang rumit dan mencabar seperti mainan ingatan, scrabble, silang kata, catur dan permainan komputer yang tertentu. Tumpuan tinggi, membaca secara senyap untuk masa yang panjang. Tidak suka diganggu, menjadi geram apabila diganggu semasa melakukan sesuatu yang diminatinya.
Dapat memahami manakah isu yang penting, idea yang teras, prinsip asas yang penting. Palajar yang biasa hanya memberi perhatian kepada perincian yang kurang penting. Contohnya semasa melakukan hasil seni, mereka mementingkan menghasilkan kerja yang tercantik, walaupun tidak mengikut cara yang dicadangkan oleh guru (mungkin menggunakan cara yang tidak terfikir oleh orang lain). Menyedari nilai hasil seni terletak pada kecantikannya, bukan kaedahnya.Menggunakan dan memahami kosa kata yang lebih maju, menggambarkan dia memahami lebih banyak konsep dan objek berbanding rakan sebaya. Ini boleh dilihat dari tingkah laku kanak-kanak lain menanyakan maksud perkataan yang digunakan olehnya.
Kebolehan membuat rumusan, menganalisa, menaakul. Contohnya mengandaikan makanan yang dihadam akan menjadi hasil perkumuhan. Mengaitkan konsep yang difahami dalam situasi baru. Contohnya burung boleh terbang sebab terdapat sayap. Kapal terbang juga boleh terbang sebab ada sayap seperti burung.
Memindahkan apa yang dipelajari ke bidang lain. Semasa penyelesaian masalah, dia dapat menyelesaikan masalah pada situasi yang berbeza. Contohnya pelajar yang menggunakan teknik untuk mengingati fakta dalam subjek dan situasi yang berbeza. Menyedari hubungan antara konsep yang nampaknya tidak berkaitan. Contohnya Newton mengaitkan kejatuhan epal dengan daya tarikan yang tidak boleh nampak.  Dapat memahami persamaan dua konsep yang tidak diperhatikan oleh individu yang lain. Contohnya antara persamaan telur dan biji benih adalah kedua-duanya dilindungi cengkerang, mengandungi nutrien untuk tumbesaran bayi, bentuk bujur dan sebagainya.
Dapat memahami perbezaan dua konsep yang seolah-olah sama. Dapatkah anda membezakan konsep berat dan ketumpatan? Cahaya dan terang? Cahaya adalah kata nama dan terang adalah adjektif kepada cahaya. Bolehkan anda menakrifkan perbezaan makan dan minum? Seorang kanak-kanak yang pintar cerdas mungkin menakrifkan makan sebagai kunyah dan minum itu sedut. Tertarik kepada pemikiran abstrak. Antara bidang yang berkaitan dengan idea abstrak adalah seperti agama, falsafah, fizik, matematik, psikologi dan sains sosial yang lain. Pada peringkat kanak-kanak, mereka cepat memahami konsep seperti balasan, perasaan, keinsafan, harapan, cita-cita dan sebagainya.
Memahami kebolehan intelek sendiri (metakognisi), membantu mereka memahami gaya pembelajaran sendiri dan cara yang paling efektif untuk mencapai keputusan akademik yang baik. Dengan kata lain, mereka menggunakan kecerdasan yang ada pada mereka dengan cara yang lebih berkesan. Antara strategi pembelajaran adalah seperti: kalau saya tidak mengaplikasi apa yang dipelajari, saya akan lupa.  Imkplikasinya: mengaplikasi konsep yang baru dipelajari dengan sebanyak mungkin dalam situasi baru. Metakognisi yang matang ini juga bermakna mereka melatih diri. Mereka mencari peluang dan persekitaran untuk perkembangan diri. Mereka mengoptimalkan perkembangan intelek sendiri dengan intelek yang sedia ada!
Ingatan yang kuat. Terdapat pelbagai faktor yang menjadikan ingatan mereka lebih tinggi daripada orang lain. Akibat pemahaman yang tinggi, mereka tidak perlu menghafal secara buta. Pemahaman tinggi memberi dua kelebihan yang nyata: 1) membaca dengan cepat, 2) cepat mengingati apa yang telah difahami. Cara mengorganisasikan maklumat yang cekap, antaranya mengelaskan item mengikut kumpulan. Berkait rapat dengan kebolehan analitikal.
Menggunakan cara yang menyeronokkan untuk mengingat (teknik untuk membantu kita mengingat dinamakan mnemonik).
Ingatan semulajadi (ingatan cair) yang memangpun tinggi, dibuktikan dengan kadar mereka mengumpul maklumat seperti membina kosa kata yang banyak (walaupun di persekitaran yang sama dengan adik-beradik yang lain). Akibat pengetahuan sedia ada yang banyak, mereka cepat membina dan menyerap konsep baru (dengan mengaitkan konsep baru di atas apa yang telah sedia difahami oleh mereka sebelum ini).
Selain itu juga ciri-ciri akademik yang tinggi juga menunjukkan bahawa kanak-kanak itu adalah pintar cerdas. Kanak-kanak pintar cerdas juga lebih menonjol dalam pemahaman pembacaan, boleh memahami maksud tersirat. Pemahaman yang tinggi ini boleh dilihat dari dua segi, iaitu kecerdasan bahasa yang baik dan juga mereka cepat membina maksud daripada apa yang telah dibaca. Menonjol dalam matematik, terutamanya pemahaman matematik dan menyelesaikan masalah dengan cara yang kreatif (seperti menggunakan grafik / melukis untuk menggambarkan soalan). Contohnya dapat mengaitkan algebra dengan geometri.

Suka kepada buku, membaca untuk keseronokan / sebagai minat. Ini boleh dilihat dengan tingkah laku seperti suka mengunjungi perpustakaan, membaca surat khabar dengan teliti, membeli buku sendiri. Perlu diingatkan, kecerdasan bahasa adalah kecerdasan yang diiktiraf tinggi dalam budaya kita, tetapi bukan semua individu pintar cerdas adalah canggih dari segi bahasa. Biasanya mereka yang tinggi kecerdasan bahasa, akan mendapat pengiktirafan awal.
Fasih bercakap. Idea yang lancar dan menggunakan bahasa yang lebih rumit, seperti ayat yang lebih panjang dan kompleks. Membaca buku yang lebih susah. Apa yang membezakan mereka dengan pelajar biasa bukan setakat tabiat membaca tetapi yang lebih penting mereka membaca buku yang lebih berkualiti. Ini bermaksud buku yang memerlukan pemahaman yang lebih tinggi. Rakan yang sebaya tidak membaca buku yang disukainya. Adik-beradik tidak menyentuh koleksi bukunya.
Menonjol dalam bahasa bertulis. Boleh membina ayat sendiri pada umur yang muda. Berminat dengan membentuk garisan pada pelbagai permukaan dan memegang pena semasa kecil. Ada gaya yang tersendiri dalam bahasa. Penyampaian yang lebih berkesan, contohnya menggunakan analogi atau gambaran visual untuk menyampaikan maksud secara tepat.
Ciri yang seterusnya ialah ciri- ciri fizikal dalam ciri-ciri fizikal ini kanak-kanak pintar cerdas tidak begitu ketara jika dibandingkan dengan kanak-kanak biasa tetapi secara keseluruhannya perkembangan fizikal mereka lebih baik daripada rakan sebaya. Berat badan yang lebih tinggi semasa lahir. Jangkaan hidup yang lebih panjang (akibat sikap mementingkan kesihatan, keadaan status sosio-emosi yang lebih bagus dan mungkin faktor genetik). Kadar penyakit kemerosotan mental seperti Alzheimer yang lebih rendah.
Ciri yang berikut ialah tingkah laku ataupun personaliti,bakat istimewa dan sifat ingin tahu yang ada pada kanak-kanak pintar cerdas itu sendiri. Minat yang luas dan mendalam dalam pelbagai topik dan bidang. Konsep kendiri yang positif, yakin dan optimistik (selalu berfikir yang positif). Ini berlaku apabila mereka “berfungsi” secara sihat. Yang sebaliknya akan berlaku apabila mereka menghadapi cabaran tertentu, contohnya mereka tidak difahami oleh orang biasa. Karismatik, popular dan ada gaya sendiri yang unik (menjadi bintang dalam kelas). Sikap degil dan tidak fleksibel: tidak ingin menyentuh kerja yang tidak diminati (yang dianggap di luar bidangnya). Ekstrim yang satu lagi juga mungkin berlaku: ingin belajar segala-galanya. Melakukan kerja dengan teliti, suka projek besar yang mengambil masa panjang dan usaha berterusan, suka kepada perincian (sikap perfeksionis).
Berasa tertekan untuk mengatasi orang lain. Sikap takut kalah. Mungkin membawa kepada sikap cemburu dan masalah sosio-emosi yang lain. Permintaan dan jangkaan yang tinggi pada hasil kerja sendiri. Selalu tidak puas hati dengan pencapaian sendiri (dan orang lain). Bersungguh-sungguh semasa bekerja, tetapi tidak puas hati apabila kerja disiapkan. Banyak tenaga, seolah-olah tidak perlu tidur apabila melakukan kerja yang diminati. Motivasi yang tinggi, contohnya main lego sampai larut malam.
Kebolehan artistik yang luar biasa dalam satu atau lebih bidang, seperti muzik, seni dan menari.
Suka berkhayal dan imaginatif. Contohnya Jean Paul Sartre semasa kecil telah menulis sebuah novel yang mengisahkan pengembaraan seorang saintis yang memburu rama-rama. Penulisan mereka berbeza daripada orang lain dengan gaya (bahasa) yang tersendiri, dan konsep / tema yang kreatif (yang memberangsangkan secara intelek atau khayalan).
Kreatif dan suka atau menghargai sesuatu yang berbeza, asli dan unik. Contohnya menarik perhatian ibubapa kepada sesuatu karya yang menarik perhatiannya. Meniru karya yang berkualiti tersebut. Pandai berjenaka, pandai memujuk dan berdebat. Mungkin pandai menghiburkan orang dewasa. Dia ada gaya sendiri. Menggunakan dan memanipulasikan bahasa secara kreatif. Kebolehan bersukan yang luar biasa, seperti ketahanan dan ketangkasan yang lebih tinggi. Kemahiran membina dan rekacipta yang luar biasa. Contohnya semasa bermain blok, membina kota yang besar dan rumit, dengan perincian yang rumit. Menunjukkan kebolehan / kapasiti membayangkan struktur dan ruang yang luar biasa. Contohnya mencipta dunia khayalan dengan sistem dan budaya yang rumit. Kemahiran kepimpinan yang luar biasa, dianggap sebagai autoriti oleh rakan lain, popular dan dikagumi Boleh berfikir secara lateral dan inovatif. Banyak idea yang pelbagai.
Sifat ingin tahunya pula ialah kanak-kanak pintar cerdas ini suka menanya soalan yang mencabar dan inovatif, menunjukkan pemahaman yang matang dan canggih. Contohnya kenapa bintang suka berkelip-kelip? Kenapa planet Zuhal (Saturn) ada gegelang di kelilingnya? Adakah tumbuhan beremosi / jiwa?
Suka membaca buku yang berdasarkan fakta seperti ensiklopedia, menonton dokumentari dan melawat muzium. Berminat dengan topik seperti dinasour, makhluk asing, ekologi, apa yang berlaku selepas kematian, cerita dongeng, biografi dan ajaran agama yang lain. Tidak mudah menerima jawapan yang ringkas dan mudah, ingin memahami sesuatu secara mendalam (Kenapa saya tidak berasa terbalik apabila berdiri di hemisfera selatan bumi?). Menjadi kecewa kalau persoalannya tidak terjawab oleh orang dewasa.
Suka memahami sebab dan akibat sesuatu, seperti bagaimana mesin boleh bergerak. Ingin membuka jam untuk memahaminya, dan memikirkan cara menggunakan prinsip jam untuk tujuan yang lain. Memberi alasan / andaian (hipotesis) terhadap kejadian tertentu. Bunga matahari menyerap cahaya matahari! Durian ada duri untuk mengelakkannya dimakan binatang lain. Fungsi rambut adalah menyerap cahaya matahari sebab warna hitam boleh menyerap haba. Saya kencing sebab poket dalam badan saya telah penuh! (Tidak penting kalau penemuan, alasan atau hipotesis itu tidak tepat atau salah, yang penting adalah kebolehan memberi alasan dan pemikiran logikal). Kebolehan ini selalu dapat diperhatikan pada ahli teori.
Suka mencipta dan menjalankan eksperimen. Mungkin hanya eksperimen yang ringkas. Contohnya meniup udara ke dalam air gelas untuk memerhatikan buih udara, atau mencampurkan susu dengan Rebena untuk mendapatkan minuman baru yang berlainan rasa.
Seterusnya saya akan membincangkan ciri yang terakhir iaitu gaya pembelajaran kanak-kanak pintar cerdas itu sendiri. Kanak-kanak pintar cerdas ini banyak menghabiskan masa yang panjang untuk aktiviti yang diminati. Seolah-olah mengasah bakat yang ada pada sendiri.
Pengetahuan metakognisi, digambarkan menggunakan strategi sendiri untuk mempelajari sesuatu. Selalu bertukar cara untuk mendapat cara yang paling berkesan. Minat kepada teknik ingatan (mnemonik). Perkembangan metakognisi ini berkait rapat perkembangan intrapersonal (pemahaman diri). Menolak tugasan yang ringkas dan mudah, atau tidak mencuba langsung kerja yang “biasa”. Menghabiskan kerja dengan tidak puas hati dan membuta tuli kalau dipaksa melakukan kerja yang tidak diminatinya.
Motivasi intrinsik dan kawalan dalaman yang kuat. Melakukan sesuatu demi kepuasan diri. Mengabaikan halangan seperti sindiran orang lain. Mungkin dianggap sebagai angkuh atau mencabar autoriti dengan caranya yang tersendiri. Motivasi yang tinggi untuk melakukan sesuatu yang diminati. Minat yang mendalam dalam topik yang tertentu. Contohnya siput kerang atau fosil. Mencari maklumat yang banyak dalam topik tersebut. Membuat nota dan menyusun maklumat sendiri secara sistematik tanpa disuruh. Bertindak sebagai seorang pengkaji. Memahami dan menangani masalah baru dengan cepat. Senang menyesuaikan diri dalam budaya dan persekitaran yang baru. Dapat mengatasi halangan dan mencapai apa yang diingininya. Tidak suka kerja yang berulangan seperti latih tubi (cepat bosan walaupun belum menguasainya). Ini mungkin menjadikan tulisan mereka tidak kemas, sebab terdesak untuk menghabiskan kerja dengan cepat sejak kecil lagi. Tertarik kepada ransangan atau cabaran baru. Bagi seorang pelajar, lebih bermotivasi mempelajari bab atau subjek yang baru atau bidang pengetahuan yang tidak pernah / kurang diterokai. Mendaftar kertas yang mencabar dan baru semasa di universiti (juga satu petanda keyakinan yang tinggi).
Cenderung menyempurnakan tugasan mudah yang diberi dengan cara yang kompleks (di mana tidak dijangka oleh orang lain atau dianggap berlebih-lebih). Bagi orang lain, dia selalu mentafsir lain. Contohnya memahami sesuatu (tugasan atau perbualan) yang biasa sebagai sangat abstrak. Malas dari segi suka menangani masalah dengan cara yang paling ringkas dan kreatif (menggunakan jalan pintas). Contohnya pelajar yang mencadangkan menjawab secara lisan supaya tidak perlu menulis jawapan penuh. Malas menyiapkan kerja rumah, terutamanya kerja yang salin-menyalin. Mencari peluang menggunakan cara yang cekap untuk orang malas demi menjimatkan masa. Suka menjawab soalan matematik tanpa menjalankan operasi matematik, terus memberi jawapan sebab tidak sabar dengan operasi yang panjang lebar (suka mengira dalam hati).
Ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas ini akan memberi kesan langsung kepada jenis pendidikan pintar cerdas yang sesuai diberikan kepada mereka. Perlu ditekankan bukan semua individu pintar cerdas memiliki semua ciri-ciri ini, tetapi secara keseluruhan ianya adalah benar. Setakat mana individu tersebut menunjukkan ciri-ciri ini juga bukan berhubungan langsung dengan kecerdasannya, bukan semakin cerdik semakin banyak ciri-ciri ini yang dimiliki. Disebabkan keperluan setiap kanak-kanak pintar cerdas yang berbeza, tiada cara atau program yang terbaik untuk melaksanakan pendidikan pintar cerdas bagi semua kanak-kanak pintar cerdas. Guru boleh menanya kanak-kanak apa yang ingin dia lakukan untuk mendapat idea.

3.0  Keperluan Kanak-Kanak Pintar Cerdas

Pendidikan membantu setiap individu untuk mewujudkan potensi masing-masing dan ini termasuklah kanak-kanak yang pintar cerdas. Dalam bahagian ini saya akan cuba membincangkan keperluan-keperluan pendidikan bagi kanak-kanak pelajar pintar cerdas dan jenis-jenis pendidikan yang sesuai dengan potensi mereka.
Hanya sedikit guru yang memiliki murid seperti Mozart atau Einstein di kelasnya. Namun pada suatu saat kita juga pasti ada murid pintar cerdas dan murid itu mungkin anak kita. Kanak-kanak akan menunjukkan prestasi yang tebaiknya di sekolah bila ibu bapa dan guru berkerjasama secara harmoni dan saling memahami apa yang hendak dilakukan pihak lain. Ini dimulai ketika kanak-kanak masuk ke kelompok bermain seterusnya sampai akhir sekolah melalui cara yang lebih berkesan.
Kadang-kadang berlaku ketidaksesuaian antara ibu bapa dan guru mengenai potensi atau kemampuan kanak-kanak, kanak-kanak tidak berperilaku sama di sekolah atau di rumah, contohnya seorang kanak-kanak pintar cerdas yang selalu berusaha ingin tahu tentang segala hal di rumah mungkin mencuba menyenangkan gurunya dengan apa-apa yang dia fikir diinginkan oleh gurunya di sekolah. Sehingga mungkin dia mengurangi mengajukan pertanyaan-pertanyaan yang muncul dibenaknya atau menyelesaikan tugas pekerjaan rumahnya tepat seperti yang dia fikir dikehendaki oleh gurunya walaupun sesungguhnya ia mampu mengerjakan tugas itu secara lebih imajinatif dan lebih menarik. Dalam hal demikian, ibu bapa dan guru melihat gambaran yang sangat berbeza tentang anak tersebut.
Bagaimana perasaan kanak-kanak pintar cerdas terhadap diri mereka sendiri dan terhadap kemampuan mereka dapat mempengaruhi kejayaan mereka di sekolah. Mereka tidak hanya peka bagaimana pandangan guru mengenai mereka, namun juga terhadap pandangan kawan-kawan sekolah. Kanak-kanak pintar cerdas misalnya, sering merasakan bahawa kawan-kawan mereka memandang aneh diri mereka. Akibatnya mereka mungkin menyembunyikan kelebihan mereka. Oleh itu guru dan ibu bapa haruslah memberi dorongan untuk mereka supaya cemerlang sesuai dengan kemmpuan sendiri dan tetap mempunyai banyak teman.
Selaian itu motivasi belajar juga amat penting. Ramai  kana-kanak pintar cerdas kurang termotivasikan untuk belajar, baik di rumah ataupun di sekolah. Kana-kanak dapat diajar untuk merasa yakin akan apa yang mereka lakukan dan perlu dibantu untuk kearah yang terbaik. Motivasikan kanak-kanak untuk berusaha dan memberikan kebabasan dalam melaksankan kerja mereka akan menambahkan keyakinan mereka serta dapat membangkitkan keinginan untuk belajar dan berjaya.
Pujian. Pujian juga dapat menjadi cara sangat efektif untuk membangkitkan semangat belajar kanak-kanak. Guru dan ibu bapa yang berfikir positif, yang menggunakan banyak pujian  pada saat yang tepat dan memberikan hadiah kecil atas usahanya akan membuat kana-kanak senang belajar.
Perasaan berjaya. Sememangnya pujian atas pekerjaan yang diselesaikan dengan baik akan sangat menyenangkan. Ini juga akan membantu anak menetapkan pandangan pada tingkah laku yang tepat, serta boleh mengelakkan rasa gagal akibat tugasan yang sukar ataupun terlalu cepat puas hati dengan kerja yang lebih mudah. Kejayaan dan kegagalan dalam belajar cenderung mendewasakannya. Guru dan ibu bapa bolehlah memberikan kanak-kanak sesuatu perasaan Berjaya sehingga mendorong semangat belajarnya.
Kegiatan belajar yang praktikal. Jenis kegiatan belajar yang baik adalah praktikal (fleksibel) dan dapat diadaptasikan, sehingga pelajaran yang dipelajarinya dalam satu situasi dapat diadaptasikan dalam situasi yang berlaianan. Pemindahan(transference) ini adalah sesuatu yang biasanya dikuasai oleh kanak-kanak pintar cerdas.
Peranan aktif. Setiap kanak-kanak perlu aktif dalam proses belajar untuk dirinya sendiri, contoh melalui permainan dengan pasir dan air, melalui perbincangan tengtang sesuatu taupun melalui esperimen dalam bahan kimia dan cara yang kurang efisien ialah melalui mendengar orang lain bercakap.
Kegiatan belajar di sekolah. Kejayaan yang  bagi kanak-kanak pintar cerdas belajar di sekolah  bergantung kepada kaedah pengajaran guru di sekolah. Kaedah pengajaran berkelompok dengan ini memberikan pandangan yang lebih luas berbanding dengan seandainya hanya hanya seorang guru sahaja yang menagajar mereka. Kaedah pengajaran kanak-kanak pintar cerdas juga bolehlah mengunakan berkelompok bola sepak, seperti hanya pemain-pemaian bola sepak yang mahir berkumpul bersama setiap hari sabtu pagi atau sebelah petang untuk berlatih bola sepak. Di dalam sistem pendidikan kovensional yang mengikut umur, salah satu pilihan bagi kana-kanak pintar cerdas ini ialah membolehkan mereka melompat kelas.


4.0  Kesimpulan

Kesimpulannya, golongan pintar cerdas mempunyai ciri fizikal yang agak sama dengan golongan biasa. Namun mereka berbeza dalam aspek emosi dan sosial. Pelbagai aspek boleh diulas dalam ciri-ciri kognitif dan afektif kanak-kanak pintar cerdas. Ciri-ciri seperti sensitif, sukar bergaul dan sebagainya perlulah diambil langkah atau intervensi bagi mengelakkan masalah berpanjangan.
Faktor persekitaran seperti ibu bapa, guru-guru dan masyarakat perlulah bijak mengatur strategi dan pendekatan yang bersesuai dengan masalah yang dihadapi golongan ini. Jika masalah ini berlarutan, hilanglah aset berharga negara kita.
Bakat-bakat golongan ini perlulah diasah dan dicungkil agar bakat-bakat ini berkembang dan memyumbang kepada pembangunan negara. Bakat ini tidak akan berkembang sekiranya tidak didedahkan dengan aktiviti dan pengalaman yang bersesuaian dengan bakat-bakat mereka.







Rujukan

1)    Characteristics of Giftedness Scale, Linda Kreger Silverman Gifted Development Center dipetik daipada laman web;
           
2)    Fayizah Md Najib (2001). Mendidik Anak Genius. Jasmin Enterprise : Kuala Lumpur

3)    Gifted and Talented Supplemental (162),  2006 by the Texas Education Agency (TEA) dipetik daripada laman web;

4)    Golant, Susan K (1991). The Joys and Challenges Of Raising A Gifted Child. Prentice Hall Press: New York.

5)    Hassan Mohd Ali (1996). Mendidik Anak Pintar Cerdas.Utusan Publication Sdn Bhd:Kuala Lumpur.

6)    Rozumah Baharuddin  (1984). Perkembangan Kanak-Kanak. Dewan Bahasa Dan Pustaka: Kuala Lumpur

7)    Sousa D. A. (2003). How the gifted Brain Learns. California: Corwin Press.Inc.









1 comment: